AsSalam dan salam sejahtera semua...
Lama sangat tak dapat nak update blog nie. Sebenarnya percutian kami di Cameron Highland(CH) telah lama berlalu, bersama sambutan hari jadi anakanda perempuan kami, Damia Dharwisyah yang ke-2 pada November 2013.
Alhamdulillah, perancangan kami berjalan dengan lancar dan semua tempat yang kami rancangkan telah kami berjaya capaikan untuk memuaskan semua ahli keluarga kami.
Kami bergerak ke Cameron Highland dari Taiping setelah menghadiri kenduri kahwen sepupu encik suami. Melalui Lebuhraya PLUS, kami kemudian keluar melalui susur keluar Simpang Pulai untuk meneruskan perjalanan kami ke CH.
Setibanya kami di Brinchang, mata mula memerhati kawasan persekitaran,namun pandangan kami terhad kerana kami tiba pada waktu malam.
Kami menginap di Parkland Apartment. Di sini, kami berasa sangat selesa kerana jumlah ahli keluarga kami yang ramai sangat memadai untuk kami menginap seperti di hotel. Ruang biliknya yang luas dan bilik air@tandas di setiap bilik memudahkan pergerakan kami. Kami juga memasak di ruang dapur yang telah disediakan (tapi dapur elektrik kami bawa sendiri). Pada malam pertama kami di CH, semuanya sekadar rehat untuk mengumpul tenaga.
Pada pagi hari kedua, setelah kami selesai bersarapan, kami mula bergerak ke Ladang Teh Boh Sg. Palas. Memang teruja nak tengok sebab di sini sewaktu mengikut rombongan pejabat,pemandangan sangat indah. Subhanallah, kuasaNya untuk mencipta tiada batasan. Kami parking di bahagian bawah, jadi bersenam juga kami semua di pagi yang indah ini untuk ke kilang teh boh di sini.
Seperti biasa, untuk menghilangkan rasa penat, kami semua bergambar di sekeliling pokok teh yang kehijauan.
Apabila tiba di atas, kami sambung kembali untuk sesi bergambar. Meriah dan seronok juga melihat keletah Damia dan anak-anak buah yang seronok apabila tiba di atas. Masuk ke kawasan kilang, kami cuma dapat melihat mesin yang telah dibersihkan kerana kilang tersebut akan ditutup pada setiap Isnin, jadi tiada aktiviti pengilangan yang dapat dilihat secara langsung.
Kami teruskan misi membeli-belah. Semestinya menjadi saat-saat yang dinantikan oleh kami selaku pihak perempuan. Mak mertua, kakak2 ipar semua mula memborong mengikut pesanan daripada rakan-rakan dan kehendak mereka.
Setelah turun dari Ladang Teh Boh, kami terus ke Taman Rama-rama...Ada pelbagai jenis dan warna rama-rama yang ada. Keindahan dapat dilihat dengan tambahan bunga-bunga. Sangat sesuai untuk kanak-kanak untuk melihat rama-rama,burung, pelbagai serangga, pelbagai jenis katak fan haiwan lain disini. Walaupun tidak besar seperti zoo,namun bagi kami tetap menarik dan berpuas hati. Di sini kami membeli cenderahati sebagai tanda kenangan kami berkunjung ke sini.
Tiba waktu makan tengahari, kami pulang ke apartment dan masak untuk kami makan. Anak-anak kecil yang kepenatan mengambil peluang untuk rehat,tidur dan makan.
Setelah semua kembali segar, kami mula bersiap untuk ke Lavender Garden. Setibanya di sini, kami perlu membeli tiket sebelum memasuki taman tersebut. Memang sangat cantik dan menarik. Tidak rugi kami ke sini. Dan semestinya birthday girl paling seronok, lebih-lebih lagi apabila diberi belon dan juga mendapat patung lavender girl. Si adik mungkin tidak puas tidur, disambungnya waktu tidur sewaktu kami berjalan di sini. Tambahan sewaktu kami di sini, cuaca mendung dan kami mula merasa agak sejuk. Untuk bergambar, sudah tentu di sini sangat cantik dan ramai pengunjung yg mengambil peluang bergambar di sini.
Seterusnya kami ke Cactus Point. Di sini terdapat pelbagai jenis kaktus dan pokok bunga yang cantik. Semestinya ianya menjadi tempat shopping untuk mak mertua. Penuh juga satu kotak apabila ibu mertua membeli 3 pasu bunga daisy, kaktus dan lain-lain untuk bunganya. Bagi kami yang lain, sesi bergambar semestinya menjadi pilihan.
Seterusnya kami ke Pasar Brinchang. Seperti yang diketahui ramai, disini kita boleh memborong dan membeli pada harga yang sangat murah. So, sudah tentu kami menggunakan peluang kami yang ada untuk membeli jagung, strawberi, baju dll. Kepada pengunjung CH, disinilah tempat untuk anda membeli cenderahati dan apa saja untuk kenangan, sebab bagi saya disini harga boleh ditawar mengikut kuantiti barang yang kita mahu beli.
Selesai shopping, kami semua pulang ke apartment untuk masak makan malam. Saya sempat juga membeli bahan mentah seperti ayam di kedai runcit Brinchang untul bahan masakan saya. Harga semestinya sangat mahal berbanding ayam di KL. Tapi jemu juga kalau makan sardin, telur dan sayur saja kan, jadi tidak salah jika kita keluar belanja sedikit. Ini pun banyak gak kami dapat jimat sebab masak sendiri.
Aktiviti malam hari kami cuma di apartment. Kami semua berehat sambil menjamu selera dengan strawberi yg kami borong dipasar. Sempat juga kami makan jagung kukus. Apabila ramai, suasan simple begini pun tetap rasa meriah.
Pada hari terakhir kami, kami hanya singgah di Ladang Teh Cameron Valley. Kami semua dah bersarapan di apartment, jadi disini kami hanya menikmati hidangan teh segar sebelum bergerak pulang ke KL.
Rasa sangat berat hati untuk tinggalkan CH. InsyaAllah, kami akan ke sini lagi.










.jpg)








































